Sunday, February 13, 2011

DEMAM

PASIR PUTEH 13 FEBRUARI 2011 - Malam tadi tidak tidur lena. Adik demam kuat, badannya panas dan suhu meningkat. Batuk dan muntah. Kain basah dilap pada kepala dan seluruh tubuh. Ubat yang diambil dulu masih ada dan diberikan kepadanya. Susu tak mahu minum. Nasi tak mahu makan. Aku sendiri yang masih demam ini terpaksa menguatkan semangat untuk menguruskannya. Dengan ayahnya langsung tak mahu. Itulah perangainya sejak dahulu.


Bimbangkan keadaannya bertambah teruk, kami ke klinik Dr. Wan Fatimah pagi tadi. Baru nampak senyuman di wajahnya apabila diberitahu bahawa Dr. Wan Fatimah ialah nenek Naim, rakan tadikanya di Tadika Nur Mawaddah. Dr. juga memeriksa diriku yang masih demam, batuk dan sakit mata.


Pulang ke rumah kami hanya tidur. Sebarang kerja tidak dapat disiapkan. Terbengkalai. Ubat diminum dengan mudahnya sekarang. Alhamdulillah. Semasa belum tadika dulu amatlah susah untuk dia minum ubat. Mudah-mudahan berkat doa yang kami panjatkan, kesihatan yang baik akan dianugerahi Allah SWT.

Saturday, February 12, 2011

Majlis Perkahwinan Mazila

KOTA BHARU 12 FEBRUARI 2011 (Ahad)- Khemah besar dua buah terdiri kukuh depan rumah Tok Ayah. Berlangsung dengan meriah perkahwinan sepupu kami. Buat pertama kali adanya juruhebah yang dibawa khusus dari Rantau Panjang. Katanya diuruskan oleh Sony, abang pengantin yang menetap di Rantau Panjang. Aduhai!.... apa kata jiran-jiran agaknya. Apa pula kata penghuni-penghuni tanah kubur pula?

Gulai kenduri cukup sedap. Seekor lembu korban, empat puluh ekor ayam... emmmm sedap dengan masak kerutuk daging dan singgang tulang tu. Kenyang. Kak Yah dan Nora nampak letih kerana menyumbangkan tenaga menolong. Kak Na pula tak dapat turut sama kerana demam bersama-sama dengan Aisyah. Sebenarnya sejak hari khamis lagi demam. Aisyah pula mulai kelmarin kurang sehat dan bertambah serius pada hari ini.

Apa-apapun, tahniah kepada pengantin sekeluarga.

Thursday, February 10, 2011

Adik Sudah Tinggi

PASIR PUTEH 10 FEBRUARI 2011 (Khamis)
"Ummi, adik sudah dapat buka sendiri lampu bilik air," beritahunya kepadaku yang sedang menghadap komputer ini.
"Wah! Nampaknya adik sudah besar, nak sama tinggi dengan Ummi dah," ujarku setelah menghampirinya di muka pintu bilik air. Seulas senyuman kembang di bibir dan hatinya. Ku tahu dia bangga dengan pujian itu...