Friday, March 25, 2011

Adik, Menyanyi dan Kartun

PASIR PUTEH 25 Mac 2011 (Jumaat) - Cuti hujung minggu dihabiskan bersama-sama dengannya di rumah. Suasana cuaca yang hujan renyai-renyai turut ditempiaskan dengan rasa kemalasan biarpun begitu banyak agenda tugas yang perlu diselesaikan. Ayahnya seperti biasa ke Kota Bharu mencari bekalan untuk hari 'esok'. Tinggallah kami berdua bermalas-malasan. Tetapi dia dengan tingkah anak yang berusia lima tahun tidak pernah mahu mengerti untuk duduk diam seketika. Ada-ada sahaja yang menjadi minat dan tumpuannya.

Usianya lima tahun telah menginjak pada 15 Mac yang lalu. Perubahan dirinya ketara. Pada ketika ini dia sudah pandai menyanyi-nyanyi lagu kegemarannya seperti lagu tema drama Gerak Khas, lagu 1Malaysia dan beberapa buah lagu yang lain. Sambil menyanyi dia akan menari-nari. "Aduh, anakku! Jangan leka dengan hiburan nak. Sekadar untuk terhibur seketika sudahlah..."Dia pula fasih dengan senikata lagu-lagu sebab memang dia sudah lancar membaca.

Satu perkara lagi, cerita kartun memang menjadi tarikan hatinya. Hari ini Handy Manny dengan Mickey Mouse. Pendek kata cerita lain yang kita nak tengok memang tak boleh. Sekarang dah malam. Matanya masih segar dengan cerita Gerak Khas yang dihadapnya. Harapan ummi agar adik tidak terbawa-bawa kecenderungan yang ummi catatkan ini untuk masa hadapan.

Sunday, February 13, 2011

DEMAM

PASIR PUTEH 13 FEBRUARI 2011 - Malam tadi tidak tidur lena. Adik demam kuat, badannya panas dan suhu meningkat. Batuk dan muntah. Kain basah dilap pada kepala dan seluruh tubuh. Ubat yang diambil dulu masih ada dan diberikan kepadanya. Susu tak mahu minum. Nasi tak mahu makan. Aku sendiri yang masih demam ini terpaksa menguatkan semangat untuk menguruskannya. Dengan ayahnya langsung tak mahu. Itulah perangainya sejak dahulu.


Bimbangkan keadaannya bertambah teruk, kami ke klinik Dr. Wan Fatimah pagi tadi. Baru nampak senyuman di wajahnya apabila diberitahu bahawa Dr. Wan Fatimah ialah nenek Naim, rakan tadikanya di Tadika Nur Mawaddah. Dr. juga memeriksa diriku yang masih demam, batuk dan sakit mata.


Pulang ke rumah kami hanya tidur. Sebarang kerja tidak dapat disiapkan. Terbengkalai. Ubat diminum dengan mudahnya sekarang. Alhamdulillah. Semasa belum tadika dulu amatlah susah untuk dia minum ubat. Mudah-mudahan berkat doa yang kami panjatkan, kesihatan yang baik akan dianugerahi Allah SWT.

Saturday, February 12, 2011

Majlis Perkahwinan Mazila

KOTA BHARU 12 FEBRUARI 2011 (Ahad)- Khemah besar dua buah terdiri kukuh depan rumah Tok Ayah. Berlangsung dengan meriah perkahwinan sepupu kami. Buat pertama kali adanya juruhebah yang dibawa khusus dari Rantau Panjang. Katanya diuruskan oleh Sony, abang pengantin yang menetap di Rantau Panjang. Aduhai!.... apa kata jiran-jiran agaknya. Apa pula kata penghuni-penghuni tanah kubur pula?

Gulai kenduri cukup sedap. Seekor lembu korban, empat puluh ekor ayam... emmmm sedap dengan masak kerutuk daging dan singgang tulang tu. Kenyang. Kak Yah dan Nora nampak letih kerana menyumbangkan tenaga menolong. Kak Na pula tak dapat turut sama kerana demam bersama-sama dengan Aisyah. Sebenarnya sejak hari khamis lagi demam. Aisyah pula mulai kelmarin kurang sehat dan bertambah serius pada hari ini.

Apa-apapun, tahniah kepada pengantin sekeluarga.

Thursday, February 10, 2011

Adik Sudah Tinggi

PASIR PUTEH 10 FEBRUARI 2011 (Khamis)
"Ummi, adik sudah dapat buka sendiri lampu bilik air," beritahunya kepadaku yang sedang menghadap komputer ini.
"Wah! Nampaknya adik sudah besar, nak sama tinggi dengan Ummi dah," ujarku setelah menghampirinya di muka pintu bilik air. Seulas senyuman kembang di bibir dan hatinya. Ku tahu dia bangga dengan pujian itu...

Tuesday, October 26, 2010

Puteri kesayangan ummi, jadilah insan yang bertaqwa kepada Allah SWT apabila besar nanti.